ADAT SELEPAS BERSALIN
Menurut kamus dewan edisi keempat, adat
bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun temurun sejak dahulu kala dalam
sesebuah masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi.
Adat berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kebiasaan. Tetapi dalam
konteks masyarakat Melayu, perkataan adat membawa erti yang lebih luas seperti
menurut Abdullah Siddik(1975) yang menyatakan bahawa adat tidak dapat
dipisahkan daripada tatasusila yang membataskan perlakuan baik buruk anggota
masyarakat dan adat meliputi hukum yang
terdiri daripada norma-norma. Oleh itu, dalam kata lain adat meliputi
undang-undang dan larangan terhadap sesuatu perkara.
Terdapat banyak adat orang Melayu yang digunapakai sehingga
hari ini antaranya adalah adat selepas bersalin. Jagaan selepas seseorang ibu
yang bersalin amat penting bagi mempercepatkan proses pemulihan. Selepas
seseorang ibu bersalin dia sepatutnya pulih sediakala, iaitu dari segi
kesihatan jasmani dan rohani, kejelitaanya serta bentuk badannya. Perubatan secara
tradisional masih mendapat perhatian ramai di negara ini kerana ia terbukti
bermanfaat. Salah satu amalan baik untuk ibu yang baru bersalin ialah
‘bertangas’. Bertangas ini dilakukan selepas mandi. Tujuan utama bertangas
ialah mengecutkan rahim serta saluran peranakan supaya cepat kering juga
mengeluarkan kekotoran daripada badan ibu bersalin. Antara bahan-bahan yang
diperlukan ialah daun mengkudu, daun senduduk dan sabut kelapa. Asap daripada
bahan tersebut diasapkan pada seluruh anggota badan ibu. Amalan ini jika
dilakukan pada setiap hari selama masa pantang dapat memberi kesegaran kepada
tubuh ibu tersebut. Kulit ibu akan menjadi tegang semula dan berwarna kekuningan
kerana diresapi oleh asap bahan tangas itu.
Di samping itu, amalan tradisi yang perlu dilakukan oleh ibu
dalam pantang ialah bertungku. Ia dilakukan selepas bertangas dan membersihkan
diri. Bahan yang dijadikan tungku ialah sebiji batu pejal yang sederhana
besarnya. Batu ini perlu dipanaskan terlebih dahulu. Setelah panas, batu tungku
tadi hendaklah dibalut dengan kain. Kemudian ia diulitkan pada anggota tubuh
badan wanita berkenaan terutama bahagian perut. Bertungku dikatakan boleh
menghindarkan kulit perut serta anggota tubuh lain daripada menjadi
berkedut-kedut. Bertungku dan bertangas ketika dalam pantang memang
mendatangkan manfaat. Bagaimanapun dalam amalan tradisional, wanita yang
menggunakan tungku panas boleh mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin.
Kesakitan boleh dikurangkan dengan meletakkan tungku panas pada anggota badan
tertentu. Kepanasnya memudahkan pengaliran darah juga mempercepatkan pengecutan
rahim dan urat.
Bukan itu sahaja, amalan memakai bengkung masih dilakukan
oleh kebanyakkan wanita Melayu selepas mereka bersalin. Amalan berbengkung
biasanya dilakukan dalam masa pantang selama kira-kira 44 hari. Berbengkung
dapat memberi sokongan kepada otot-otot perut dan mengendurkan otot-otot pada
bahagian punggung akibat kehamilan. Amalan ini juga memberi keselesaan kepada
wanita selepas melahirkan anak. Wanita yang berbengkung memerlukan kain
kira-kira 10 meter panjang dan 45 cm lebar. Kain ini dijahit supaya kelihatan
kemas ketika dipakai. Untuk memakai bengkung, wanita berkenaan memerlukan
seorang pembantu bagi melilit kain bending di sekeliling anggota paha, punggung
dan perutnya. Sebelum bengkung dipakai, minyak ubat atau kapur bercampur asam
limau disapukan pada perut wanita tersebut. Ini bertujuan untuk mengecutkan
anggota perut seperti sediakala dan supaya perut tidak dimasuki angin.
Tambahan pula, berurut selepas bersalin masih diamalkan oleh
kebanyakan wanita Melayu. Walaupun urut adalah perbuatan yang pasif, namun ia
memberi keselesaan kepada otot-otot badan yang menjadi tegang semasa proses
kehamilan. Berurut juga dikatakan dapat memperkukuhkan saraf dan otot badan.
Biasanya urut dilakukan setelah disapu dengan minyak ubat. Ini bertujuan untuk
melicinkan pergerakan semasa proses mengurut dan badan juga tidak terasa sakit.
Oleh itu, selepas bersalin kebanyakan wanita Melayu akan
memakan jamu atau majun. Jamu boleh dibeli atau diramu sendiri daripada akar
kayu dan rempah ratus. Ramai wanita makan jamu selepas bersalin bertujuan untuk
mempercepatkan proses pemulihan badan mereka. Kebanyakan wanita berasa
kesejukan selepas melahirkan anak. Oleh itu mereka memakan jamu bagi memanaskan
badan dan memberi keselesaan kepada badan. Tetapi bagi ibu yang menyusukan anak
mereka, memakan jamu atau majun dikatakan akan menggangu penyusuan. Ini boleh
menyebabkan bayi mendapatkan cirit-birit.
Kesimpulannya, dalam tempoh berpantang si ibu dilarang
berjalan atau membuat sebarang kerja yang berat. Semua dalam pantang kesihatan
ibu dan bayi dijaga dengan rapi. Semua kerja penjagaan bayi diuruskan oleh ibu
kepada wanita yang bersalin atau orang yang dibayar khas untuk menjaga ibu dan
bayi tersebut. Hal ini kerana segala pantang larang semasa bersalin ini
mestilah dijaga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diinginkan.
Amalan ketika bersalin ini diharap dapat diteruskan dan diamalkan oleh semua
masyarakat Melayu supaya kekal diikuti oleh generasi yang bakal datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan