PERBEZAAN ANTARA ORANG SEMENDA DENGAN ANAK
DAGANG DALAM ADAT PEPATIH
Orang Semenda terbentuk melalui perkahwinan yang berlainan suku. Orang
Semenda ini lebih dikhususkan kepada adat perkahwinan dalam adat Perpatih. Perkataan
Semenda dikatakan berasal daripada perkataan “sando” yang memberi maksud “gadai”.
Suami tinggal ditempat isteri iaitu ditanah pusaka si isteri dan si suami akan
menjadi sebahagian dalam anggota suku si isteri tetapi tidak mempunyai kuasa ke
atas suku isterinya. Dalam sukunya dia dikenali sebagai ‘Orang Tempat Semenda’.
Orang Semenda ini diletakkan dalam 4 kategori iaitu, semenda lapiak beruak,
semenda langau hijau, semenda kacang miang, dan semenda niniak mamak. Lapiak
buruak dikatakan tidak mendatangkan masalah kepada puak atau suku namun menantu
seperti ini tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada keluarga. Langau
hijau adalah golongan yang berbau iaitu cuma membawa kuman dan cuma
menumpang makan serta tidak mempunyai pekerjaan atau harta dan membawa pengaruh
yang tidak baik. Kacang miang merupakan jenis menantu yang berubah selepas
berkahwin walaupun pada mulanya dia seorang menantu yang baik. Mungkin sebelum berkahwin
dia pandai berpura-pura menunjuk baiknya. Niniak mamak iaitu menantu yang
bertanggungjawab dan mengambil peduli terhadap lingkungannya iaitu
bertanggungjawab dan peduli dengan kesulitan kaum terhadap suka dan duka yang
dialami saudara-saudara isteri beserta anak cucunya dan anggota kaum lainnya.
Keadaan ini berbeza pula
dengan anak dagang. Anak dagang
didefinisikan sebagai orang asing iaitu orang yang merantau ke tempat lain.
Selalunya anak dagang akan keluar ke tempat lain untuk berdikari tanpa mendapat
sebarang bantuan daripada ahli keluarganya. Panggilan anak dagang ini
dikaitkan dengan anak lelaki orang Negeri Sembilan yang kebiasaannya seawal
usia dua belas tahun telah digalakkan untuk keluar dari rumah untuk mencari
agama dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu agama untuk bekalan hidup di
perantauan bagi mencari pengalaman dan kerja. Anak dagang ini perlu melalui adat berkedim dahulu. Berkedim atau dalam loghat Negeri Sembilan disebut 'kodim' adalah satu upacara di mana seseorang diterima
masuk menjadi ahli sesuatu suku dalam masyarakat Adat Perpatih.
Seseorang itu boleh menjadi ahli sesuatu suku atas dua sebab iaitu menerima orang luar yang bukan daripada kalangan masyarakat Adat Perpatih tetapi
ingin menjadi ahli sesuatu suku atas sebab-sebab perkahwinan. Seseorang anak dagang yang tidak berkedim dalam adat perpatih ini akan
dipanggil “ Dagang Hanyut”. Yang kedua ialah seseorang dalam masyarakat Adat Perpatih
yang ingin menukar sukunya kepada suku lain atas sebab mahu berkahwin dengan
seseorang dalam suku asalnya atau untuk kepentingan pembahagian harta pusaka. Oleh kerana anggota suku dikira dari anggota perempuan, sesebuah suku
yang tidak mempunyai anak perempuan akan punah kerana anak perempuan amat
penting untuk perkembangan suku berbanding anak lelaki. Harta pusaka anak perempuan
akan jatuh ke tangan keluarga lain. Oleh itu, dalam upacara berkedim semua
sanak saudara akan dikumpulkan untuk diberitahu akan kehadiran orang baru dalam
sesebuah keluarga serta bertujuan untuk mengelak sebarang masalah atau salah
faham yang mungkin akan berlaku. Taraf kedim ini akan ditentukan oleh muafakat ketua-ketua
adat dalam suku berkenaan. Apabila
menjadi anggota suku bermakna dia mempunyai tempat tinggal, saudara mara, kaum
kerabat, kaum sakat, dan kumpulannya. Oleh itu berkedim penting untuk
memastikan anak dagang menjadi sebahagian dalam masyarakat adat perpatih yang
diamalkan di Negeri Sembilan. Pendek kata keadaan ini mampu mengeratkan serta
mengukuhkan lagi perhubungan antara anggota suku yang berlainan dalam sesuatu
masyarakat.