Sabtu, 7 Mei 2016



PERBEZAAN ANTARA ORANG SEMENDA DENGAN ANAK DAGANG DALAM ADAT PEPATIH
Orang Semenda terbentuk melalui perkahwinan yang berlainan suku. Orang Semenda ini lebih dikhususkan kepada adat perkahwinan dalam adat Perpatih. Perkataan Semenda dikatakan berasal daripada perkataan “sando” yang memberi maksud “gadai”. Suami tinggal ditempat isteri iaitu ditanah pusaka si isteri dan si suami akan menjadi sebahagian dalam anggota suku si isteri tetapi tidak mempunyai kuasa ke atas suku isterinya. Dalam sukunya dia dikenali sebagai ‘Orang Tempat Semenda’. Orang Semenda ini diletakkan dalam 4 kategori iaitu, semenda lapiak beruak, semenda langau hijau, semenda kacang miang, dan semenda niniak mamak. Lapiak buruak dikatakan tidak mendatangkan masalah kepada puak atau suku namun menantu seperti ini tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada keluarga. Langau hijau adalah golongan yang berbau iaitu cuma membawa kuman dan cuma menumpang makan serta tidak mempunyai pekerjaan atau harta dan membawa pengaruh yang tidak baik. Kacang miang merupakan jenis menantu yang berubah selepas berkahwin walaupun pada mulanya dia seorang menantu yang baik. Mungkin sebelum berkahwin dia pandai berpura-pura menunjuk baiknya. Niniak mamak iaitu menantu yang bertanggungjawab dan mengambil peduli terhadap lingkungannya iaitu bertanggungjawab dan peduli dengan kesulitan kaum terhadap suka dan duka yang dialami saudara-saudara isteri beserta anak cucunya dan anggota kaum lainnya.

Keadaan ini berbeza pula dengan anak dagang. Anak dagang didefinisikan sebagai orang asing iaitu orang yang merantau ke tempat lain. Selalunya anak dagang akan keluar ke tempat lain untuk berdikari tanpa mendapat sebarang bantuan daripada ahli keluarganya. Panggilan anak dagang ini dikaitkan dengan anak lelaki orang Negeri Sembilan yang kebiasaannya seawal usia dua belas tahun telah digalakkan untuk keluar dari rumah untuk mencari agama dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu agama untuk bekalan hidup di perantauan bagi mencari pengalaman dan kerja. Anak dagang ini perlu melalui adat berkedim dahulu. Berkedim atau dalam loghat Negeri Sembilan  disebut 'kodim' adalah satu upacara di mana seseorang diterima masuk menjadi ahli sesuatu suku dalam masyarakat Adat Perpatih. Seseorang itu boleh menjadi ahli sesuatu suku atas dua sebab iaitu menerima orang luar yang bukan daripada kalangan masyarakat Adat Perpatih tetapi ingin menjadi ahli sesuatu suku atas sebab-sebab perkahwinan. Seseorang anak dagang yang tidak berkedim dalam adat perpatih ini akan dipanggil “ Dagang Hanyut”. Yang kedua ialah seseorang dalam masyarakat Adat Perpatih yang ingin menukar sukunya kepada suku lain atas sebab mahu berkahwin dengan seseorang dalam suku asalnya atau untuk kepentingan pembahagian harta pusaka. Oleh kerana anggota suku dikira dari anggota perempuan, sesebuah suku yang tidak mempunyai anak perempuan akan punah kerana anak perempuan amat penting untuk perkembangan suku berbanding anak lelaki. Harta pusaka anak perempuan akan jatuh ke tangan keluarga lain. Oleh itu, dalam upacara berkedim semua sanak saudara akan dikumpulkan untuk diberitahu akan kehadiran orang baru dalam sesebuah keluarga serta bertujuan untuk mengelak sebarang masalah atau salah faham yang mungkin akan berlaku. Taraf kedim ini akan ditentukan oleh muafakat ketua-ketua adat dalam suku berkenaan. Apabila menjadi anggota suku bermakna dia mempunyai tempat tinggal, saudara mara, kaum kerabat, kaum sakat, dan kumpulannya. Oleh itu berkedim penting untuk memastikan anak dagang menjadi sebahagian dalam masyarakat adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan. Pendek kata keadaan ini mampu mengeratkan serta mengukuhkan lagi perhubungan antara anggota suku yang berlainan dalam sesuatu masyarakat.